Selalu kita mendengar nasihat daripada guru atau ustaz bahawa masa yang baik untuk cek atau muhasabah diri adalah sewaktu kita hendak tidur. Kalau anda boleh amalkan seperti apa yang disaran itu adalah baik tetapi tidak ramai orang yang mampu kerana untuk cek dalam waktu dari mula anda bangun pada awal pagi sehinggalah waktu malam ketika anda hendak tidur merupakan masa yang panjang dan membosankan. Kadang sebaik sahaja anda memulakan muhasabah, mata anda pun mula mengantuk dan belum lagi sampai penghujung, anda sudah pun dibuai mimpi.
Supaya ia menjadi lebih praktikal dan berkesan anda harus cek diri anda sebanyak tiga kali dalam sehari. Masa pertama ialah pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari; kedua ialah pada pukul 12.00 tengah hari hingga pulkul 6.00 petang; dan ketiga ialah pada pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam. Setiap kali kali anda cek, tanyalah diri anda apa yang anda telah lakukan dalam tempoh tersebut. Adakah anda membuat sesuatu yang baik atau tak baik. Adakah anda bekerja betul-betul atau anda membuat kerja sambil lewa tau ponteng kerja. Adakah anda menunaikan solat atau tidak dan pelbagai pertanyaan yang boleh anda lakukan.
Sekiranya dalam sesuatu tempoh itu didapati anda telah melakukan perkara-perkara yang baik dan betul, anda hendaklah meneruskan perlakuan itu tetapi jika sebaliknya maka anda hendaklah berhenti dan berjanji atau bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi.
Amalan memeriksa diri sendiri cukup baik untuk memperbaiki diri supaya kita sentiasa diberi perlindungan dan rahmat oleh Allah swt.