Sunday, 30 October 2016

2. MENUDUH BOLEH MERUGIKAN

Kebanyakan manusia suka untuk mengata, mengumpat dan menuduh apabila berkumpul baik di kedai kopi, wakaf, rumah, pejabat atau dalam kereta. Jarang kita dengar mereka menceritakan tentang ilmu atau petua untuk menjadi manusia beriman dan bertaqwa.

Orang yang membawa cerita sensasi akan lebih diminati berbanding dengan orang yang mencerita tentang ilmu atau nasihat. Mereka merasakan seolah-olah kehilangan sesuatu dan tidak ada penyeri sekiranya pencerita sensasi itu tidak hadir. Lebih banyak cerita yang mengata dan menuduh lebih banyak tumpuan diberi dan lebih banyak gelak ketawa berlaku serta tak kering gusi dibuatnya.

Akan tetapi sedarkah anda bahawa kita berada dalam pesta dosa kecil dan dosa besar. Kita membuka keaiban orang lain. Kita membuat tuduhan tanpa bukti yang jelas dan berdasarkan andaian semata-mata. Kadangkala sampai di peringkat yang melampaui batas seperti mengatakan atau menuduh bahawa anak gadis si polan itu dan ini mungkin sudah tiada dara lagi berdasarkan andaiannya semata-mata.

Cuba anda bayangkan jika anda menjadi gadis itu atau keluarganya tentu anda juga tidak boleh menerima kenyata itu kerana anda tidak pernah melihatnya sendiri. Bahkan kalau anda melihatnya pun anda tidak boleh menceritakan kepada orang lain kerana Allah melarang kita daripdaa membuka keaiban seseorang kepada orang lain.

Jika kita benar-benar jujur dan berani lebih baik kita berjumpa seorang sama seorang dan memberi nasihat secara ikhlas kepada gadis tersebut.

Sesungguhnya lebih baik kita bercerita pasal kebaikan dan pedoman hidup supaya seseorang yang mendengar dapat memperbaiki dan meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan mereka daripada mensia-siakan tenaga anda untuk mengata, mengumpat dan menuduh yang akhirnya bergelumangan dengan dosa kepada Allah dan manusia yang menjadi mangsa tuduhan yang berdasarkan andaian anda semata-mata.

No comments:

Post a Comment