Wednesday, 19 April 2017

30. SIFAT SEMULAJADI PEMIMPIN

Setiap orang dilahirkan memiliki sifat asal atau semula jadi positif atau negatif. Anda harus mengenal sifat diri anda sendiri sama ada positif atau negatif. Jika anda memiliki lebih banyak sifat positif berbanding dengan negatif, anda hendaklah mengekalkan sifat-sifat itu dan jika sebaliknya maka anda hendaklah memperbaikinya supaya anda memiliki lebih banyak bersifat positif. Anda boleh tanya diri sendiri tentang sifat anda seperti di bawah:

a) Rajin atau pemalas

b) Berterus terang atau pemendam

c) Penderma atau peminta 

d) Pemurah atau kedekut

e) Pendendam atau pemaaf

f) Tenang atau pemarah 

g) Jujur atau pembohong

h) Berani atau penakut

i) Peramah atau pendiam

j) Ikhlas atau pembodek

k) Amanah atau pengambil kesempatan

l) Disiplin atau sambil lewa

Apabila anda sudah menjadi pemimpin sama ada pemimpin kecil atau besar, anda tidak boleh membawa atau mengamalkan sifat-siat asal anda yang negatif ke dalam lingkungan kepimpinan anda. Anda harus meninggalkan segala sifat negatif itu supaya orang yang berada di bawah kepimpinan anda dapat merasakan ketenangan, keseronokan bekerja dan keadilan kerana mereka percaya jika anda masih tetap dengan sifat asal yang negatif, mereka akan menjadi resah, gelisah, tidak seronok bekerja dan akan menuduh anda tidak adil.

Pemimpin yang tidak adil bukan sahaja tidak dapat diterima oleh manusia tetapi juga dibenci oleh Allah. Apabila Allah sudah benci dengan sifat anda dan anda masih juga tidak mahu berubah maka lambat laun anda akan menerima balasan daripadaNya sama ada di dunia atau akhirat.



29. PERASAAN KITA KEPADA TUHAN

Apa beza apabila anda memegang anak sendiri (anak kecil yang berumur 7 tahun ke bawah) dengan anak orang lain?

Tentunya perasaan (feeling) anda akan berbeza. Jika anak sendiri, biasanya anda akan mempunyai perasaan seperti kasih, sayang, mesra, seronok dan sentiasa ingin bersamanya. Ini berbeza jika anak orang lain biasanya anda tidak ada perasaan seperti anak sendiri. Memang anda kelihatan sangat gembira semasa ketika merangkul anak orang lain tetapi adakah dalam hati anda itu sedemikian rupa? Mungkin belum tentu sama seperti yang anda tunjukkan di depan ibu bapa mereka.

Apabila anda tak ada feeling, anda kurang atau tak akan peduli dengan anak orang lain. Berlainan dengan anak sendiri yang anda ada feeling yang tinggi, anda begitu peduli dan sangat sensitif dengan keperluannya. Sanggup laku apa sahaja demi keperluan anak anda.

Bagaimana pula dengan solat? Sudahkah anda mempunyai feeling dengan Allah seperti kasih, sayang, gembira dan sentiasa ingin mendekatiNya kerana walau pun anda sentiasa bersolat sama ada di rumah atau di masjid anda mungkin buat sekadar buat sahaja disebabkan adat, ikutan atau disuruh oleh ibu bapa atau kerana orang lain buat.

Jika belum bererti anda masih belum dapat melakukan perubahan untuk menjadikan diri anda lebih baik kerana anda tidak ada feeling kepada Allah. Anda bersolat tetapi kerana tiada feeling maka anda tidak sensitif dengan suruhan dan larangan daripada Allah seperti mana anda tak ada feeling terhadap anak orang lain!

Berusahalah supaya anda dapat mewujudkan feeling dan setelah berjaya memperolehinya, anda tidak sukar lagi untuk berubah menjadi insan sentiasa mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan daripada Allah.

28. KESAN YANG BERPANJANGAN

Dalam bulan Ramadan tanggal 24 Oktober 2004 ketika umat Islam bergembira melaksanakan Rukun Islam ketiga tiba-tiba dikejutkan dengan Peristiwa Berdarah Takbai, Selatan Thailand yang menyebabkan 78 penduduk Melayu Islam mati ditembak oleh pihak berkuasa Thailand dan juga disebabkan sesak nafas semasa dalam trak tentera yang penuh sesak dengan longgokan manusia yang bertindih-tindih dan bergari. 

Bagaimanapun kerajaan Thailand ketika itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra memutuskan bahawa tidak terdapat sesiapa pun yang bersalah dalam kejadian tersebut. 

Thaksin memberi sokongan penuh kepada di atas tindakan tentera dan kenyataan pertamanya ialah, "...kesemua 78 orang mati akibat mereka sudah pun lemah akibat berpuasa semasa bulan Ramadhan." (Sumber: Wikipedia) 

Ekoran daripada kejadian tersebut telah timbul beberapa kesan seperti berikut, 

a) Imej Kerajaan Thailand terutamanya Thaksin Shinawatra rosak. 

b) Tsunami yang melanda Acheh, Indonesia pada 26 Disember 2004 turut memberi kesan kepada Thailand menyebabkan rakyatnya kehilangan nyawa seramai kira-kira 8200 orang. 

c) Dalam pilihanraya umum pada Februari 2005, semua 11 kerusi parlimen parti Thaksin, Thai Rak Thai (TRT) tewas di Narathiwat, Yala dan Pattani walau pun TRT menang besar dalam pilihanraya itu. 

d) Thaksin digulingkan oleh tentera pada 19 September 2006 dan lari meninggalkan Thailand sehingga kini pada 29/7/2012. 

e) Tindak balas orang Islam dengan melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan dan pihak-pihak tertentu sejak dari peristiwa itu sehingga kini pada bulan Julai 2012 adalah dianggarkan seramai kira-kira lima ribu orang sudah terkorban. 

Kita boleh lihat bahawa apabila sesuatu tindakan yang dilakukan secara tidak rasional dan tidak berperi kemanusiaan maka kesannya akan berpanjangan bermula daripada waktu tindakan tersebut sehinggalah suatu waktu yang kita tidak pastikan bilakah ia benar-benar akan berakhir. Ia mungkin sekejap atau bertahun-tahun lamanya. 

Reaksi orang yang tertindas atau mangsa tidak akan berhenti begitu sahaja dan selagi ia tidak melihat sendiri hukuman atau balasan yang berlaku kepada penindas selama itulah ia akan memberi kesan yang berpanjangan. Mangsa mempunyai reaksi yang berbeza iaitu seperti berikut: 

a) Ia dapat melupakan kejadian itu dan menerimanya dengan redha dan sabar. 

b) Ia tidak akan melupakan tetapi menerimanya dengan redha dan sabar. 

c) Ia tidak akan melupakan dan tidak akan memaafkan penindas tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan ke atasnya. 

d) Ia tidak akan melupakan, tidak akan memaafkan dan mahu penindas dikenakan tindakan melalui undang-undang. 

e) Ia tidak akan melupakan, tidak akan memaafkan dan sentiasa menunggu agar sesuatu akan berlaku ke atas penindas sama ada dari segi undang-undang atau balasan Tuhan. 

f) Ia tidak akan memaafkan, tidak akan melupakan dan akan melakukan tindak balas secara sendiri atau kumpulan atau pertubuhan kecil atau besar termasuk antarabangsa. 

Kebanyakan orang yang sukar melupakan sesuatu kejadian biasanya yang melibatkan maruah, kecederaan, kemusnahan dan kematian. Kesan bukan hanya berlaku terhadap seorang individu sahaja bahkan melibatkan anak, isteri, rakan, pekerja dan masyarakat. Sebab itu setengahnya pula tidak akan puas selagi tidak berlaku sesuatu yang setimpal dengan tindakanya selaku penindas. 

Perlulah kita ingatkan bahawa sebelum kita melakukan sesuatu tindakan ke atas seseorang kita hendaklah berfikir dengan mendalam akan kesan daripada tindakan kita itu sebagaimana reaksi penduduk Islam Thailand terhadap Peristiwa Takbai 2004! 

27. MENYELESAIKAN MASALAH

Setiap orang tidak dapat lari daripada menghadapi masalah sama ada kecil atau besar. Setelah masalah sendiri dapat diselesaikan kadang-kadang timbul pula masalah orang atau pihak lain yang memerlukan anda selesaikan misalnya masalah anak, isteri, keluarga, jiran, pekerjaan, perniagaan, organisasi, masyarakat dan negara.

Anda mungkin dapat menyelesaikan masalah dengan cepat atau lambat atau pun senang atau sukar. Sekiranya anda dapat menyelesaikan masalah dengan cepat, apa yang anda harus lakukan ialah dengan bersyukur dan sebagai tanda syukur anda digalakkan memberi sumbangan atau menderma kepada orang atau pihak yang memerlukan bantuan walau pun sedikit.

Jika anda tidak mampu menyelesaikan masalah dengan segera dan mendapati sukar untuk mengatasinya anda boleh menggunakan cara seperti berikut:

a) Kenalpasti masalah

b) Berdoa kepada Tuhan memohon petunjuk dan jalan penyelesaian

c) Muhasabah diri dan menetapkan matlamat

d) Solat hajat

e) Memilih model cara-cara penyelesaian masalah yang sesuai, contohnya Analisis SWOT; Rajah Ishikawa; 5 Whys; Mind Mapping Tony Buzan; TEACH John Maxwell; dan sebagainya.

f) Membuat penilaian dan penambahbaikan

g) Bersyukur apabila selesai

Menyelesaikan masalah merupakan usaha yang perlu anda lakukan supaya ia tidak memberi kesan yang tidak baik kepada anda seperti sedih, dukacita, stress dan murung. Daripada kesan tersebut pula anda mungkin akan menghadapi masalah kesihatan seperti sakit kepala, demam dan terdapat juga sehingga ke tahap yang tidak rasional seperti mencedera atau membunuh diri.

Anda digalakkan berusaha mengatasinya dan sesungguhnya Allah yang bersifat pemurah dan penyayang pasti akan bersama orang yang bertaqwa, beriman dan sesiapa sahaja yang memohon pertolonganNya.

26. BERSIKAP AMANAH

Pengenalan
Amanah merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seseorang dan menjaganya dengan baik. Orang yang beramanah bukan sahaja disenangi oleh orang lain tetapi juga Tuhan. Salah satu ciri penting untuk menjadi pemimpin yang berjaya dan disegani adalah memiliki sifat amanah. 

Bagi orang yang melaksanakan amanah dengan sepenuh hati, kehidupan mereka adalah tenang dan tenteram. Ia tidak merasa bimbang atau takut malah dapat tidur dengan nyenyak pada setiap masa. Hari-hari yang dilaluinya begitu lancar dan tidak selaputi oleh kerisauan dan kekhuatiran. Mereka mampu berjenaka dan bergelak ketawa bersama keluarga atau rakan-rakan.


Ini berbeza dengan orang yang tidak beramanah. Fikiran mereka sering resah dan gelisah. Semakin banyak ketidak amanahan yang dilakukan olenya maka semakin tinggilah pula kebimbangan dan ketidaktenteraman yang dihadapinya. Setiap kali hendak tidur, setiap kalilah pula menghadapi masalah untuk melelapkan mata kerana sentiasa terbayang apakah akan terjadi pada diri dan keluargannya jika satu hari nanti kegiatannya yang tidak beramanah itu dapat diketahui oleh pihak berkuasa seperti SPRM atau lain-lain.

Ingatlah bahawa setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau tidak pasti akan medapat hasil yang sama iaitu baik akan menghasilkan yang baik dan yang tak baik akan menghasilkan yang tidak baik.


Setiap anggota kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar. Mereka bertanggungjawab melaksanakan amanah rakyat dengan sebaik mungkin. Gaji mereka dibayar oleh rakyat melalui pembayaran pelbagai cukai. Setiap tugas yang ditetapkan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna. Mereka tidak boleh malas, ponteng kerja, tidak buat kerja, curi tulang, bertugas luar tanpa tujuan yang jelas, rasuah, campur tangan dan mempengaruhi dalam urusan sebut harga atau tender dan sebagainya. Tugas dan tanggungjawab merupakan satu amanah. Jika gaji kita RM5000.00 sebulan maka anda hendaklah melaksanakan tugas sepadan dengan gaji anda bahkan bekerja lebih banyak daripada gaji adalah lebih baik. Kita merupakan orang yang tidak beramanah jika anda bekerja kurang daripada gaji anda.


Setiap lebihan sen dan ringgit yang anda makan dan minum tidak akan dihalalkan rakyat selaku pembayar cukai. Kadangkala kita tidak sedar akibat wang haram yang kita guna atau makan perlahan-lahan menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Lama kelamaan pelbagai musibah dan bala yang terkena terhadap kita atau keluarga.


Cara yag terbaik dan selamat dalam meniti kehidupan ialah sentiasa bersikap beramanah dalam apa jua tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita. 

25. ILMU BODEK

Definisi ilmu dalam bahasa yang mudah ialah pengetahuan. Berilmu bererti memiliki pengetahuan. Untuk mendapatkan ilmu memerlukan usaha yang berterusan bermula sejak dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah menjadi warga emas atau sampai ke liang lahad. 

Orang yang berilmu mudah mempengaruhi orang yang kurang ilmu. Ilmu yang dimilikii boleh jadi memberi kebaikan atau membawa keburukan. Dalam sistem pendidikan kebanyakan negara, markah yang cemerlang dalam peperiksaan dikira sebagai ukuran untuk menentukan seseorang itu berilmu atau tidak. Bagi mereka yang berilmu akibat mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang lebih mudah untuk mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang ketinggalan dalam peperiksaan. 

Persoalan timbul dan menjadi perbahasan hangat ialah adakah dengan memiliki ilmu semata-mata menjadikan seseorang itu lebih baik daripada mereka yang kurang berilmu? Ada pendapat mengatakan bahawa memiliki ilmu semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan amal dan iman. Ini kerana kita dapat lihat betapa ramainya orang yang berilmu tetapi tidak beramal dan beriman, akhirnya menjadi manusia yang penuh dengan sifat-sifat buruk yang akhirnya menyusah dan merosakkan keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. 

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu untuk kebaikan atau melahirkan sifat-sifat baik dan ilmu untuk kejahatan atau melahirkan sifat-sifat buruk. Ilmu untuk kebaikan seperti amanah, ikhlas, jujur, benar, setia kawan dan lain-lain. Manakala ilmu yang melahirkan sifat-sifat buruk pula seperti rasuah, dengki, dendam, khianat, bodek dan lain-lain.

Dalam banyak-banyak ilmu, ada satu ilmu yang jarang diperbahaskan dalam seminar atau forum iaitu ilmu bodek.

Bodek merupakan sifat negatif yang digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Biasanya bodek digunakan untuk kenaikan pangkat akibat persaingan dengan staf lain. Orang yang suka bodek mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

a) Gila pangkat atau kuasa
b) Tinggi ilmu bodek dan rendah ilmu lain
c) Tidak yakin pada diri sendiri
d) Menggunakan orang lain atau isteri/suami memberi hadiah atau membantu boss
e) Tamak
f) Sampai hati atau sanggup menjatuhkan kawan

Bodek tidak dapat diterima oleh masyarakat kerana ia merupakan tindakan yang tidak jujur dan boleh menjejaskan orang lain yang lebih layak. Kita juga boleh mengatakan bahawa bodek merupakan salah satu unsur rasuah halus atau tersembunyi kerana melalui perbuatan tersebut kita tidak dapat mengambil tindakan disebabkan tiada undang-undang yang bertulis untuk menuduhnya melakukan rasuah atau salah laku.

24. SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Ini merupakan kata-kata pujangga sejak dahulu sampai sekarang. Dalam pengurusan kualiti menyeluruh (TQM), salah satu prinsipnya ialah semangat berpasukan dan konsepnya agak sama dengan sepakat membawa berkat. Sebatang lidi tidak akan mampu digunakan untuk menyapu sampah sarap di halaman rumah kita tetapi apabila ia digabungkan menjadi seberkas lidi, seluruh halaman dapat kita bersihkan. Begitu juga dengan sebatang jari tidak akan mampu memegang sudu untuk menghirup sup kerana ia memerlukan lima jari setiap tangan. Sepuluh jari jugalah digunakan untuk mempertahankan serangan daipada musuh sama ada seorang individu atau kumpulan. Musuh akan dapat menyerang dengan mudah sekiranya mereka mengetahui terdapat beberapa jari yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Demikian juga sebuah organisasi yang mempunyai tahap perpaduan yang tinggi di kalangan semua peringkat pekerja atau staf akan menyukarkan pihak musuh untuk menyerang kerana mereka bimbang dengan serangan balas yang mampu dilakukan oleh organisasi tersebut. 

Bagi organisasi yang kurang peka dengan kepentingan pekerja mereka, boleh menyebabkan organisasi tidak kuat dan lemah. Ini memudahkan musuh mengambil kesempatan dan meyerang mereka. Serangan berlaku tidak semestinya dalam bentuk peperangan antara satu pasukan tentera dengan satu pasukan tentera yang lain. Ia boleh berlaku dalam apa jua organisasi sama ada keselamatan, awam, swasta, sukarela atau sukan.

Musuh yang menyerang tidak semestinya berupa musuh yang nyata tetapi juga yang tidak nampak. Jenis musuh adalah tidak menentu seperti pesaing produk atau perkhidmatan, akhbar yang mencari kesempatan untuk melariskan jualan bagi mempertingkatkan keuntungan atau pertubuhan yang peka kepada kepentingan masyarakat. 

Pemimpin yang berpandangan jauh akan menilai sejauh manakah hubungannya dengan bawahannya dan hubungan bawahan sesama bawahan. Sekiranya didapati hubungan di tahap yang memuaskan atau baik, ia akan terus mengekalkannya. Akan tetapi jika didapati tahap hubungan begitu teruk maka usaha-usaha yang gigih termasuk transformasi bagi mengukuhkan hubungan tersebut. 

Sejarah telah membuktikan mana-mana kerajaan termasuk Empayar Mongol yang mempunyai nama yang terkenal seperti Genghis Khan dan Kublai Khan, akhirnya jatuh disebabkan oleh perpecahan yang berlaku di dalam empayar itu sendiri. Ada pendapat yang menyatakan bahawa, Mongolians are good conquerors, but crappy administrators (Orang Mongol adalah penakluk yang baik, tetapi pentadbir yang buruk sekali).


23. SEDIH TIDAK MENGENAL SIAPA

"Saya sedih khidmat ditamat lebih awal", kata mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah mengesahkan kepada pemberita bahawa beliau tidak bersara tetapi perkhidmatannya dalam kerajaan ditamatkan. 

"Saya dan keluarga masih bersedih dengan keadaan ini. Memang saya bukan bersara tetapi ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa pada 1 Julai 2012, saya menerima surat memaklumkan penamatan perkhidmatan saya. Cukuplah komen saya setakat ini. Saya dan keluarga saya masih bersedih dan tidak mahu tersalah membuat kenyataan," katanya kepada akhbar Berita Harian pada 30 Jun 2012. 

Dalam Facebook bertarikh 1 Julai 2012, Abu Bakar menulis, "Jumaat 30 Jun 2012 bersamaan 10 Syaaban 1433H merupakan hari dan tarikh yang amat bermakna bagi saya. Sepanjang tempoh masa tersebut saya melihat dan mengalami sendiri perubahan yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan amat berbangga dengan sumbangan dan pencapaian semua yang terlibat. Hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai KPPA, menandakan tamatnya perkhidmatan saya selaku penjawat awam, setelah berkhidmat hampir 35 tahun.

Sedih tidak mengenal siapa sama ada kita merupakan orang bawahan atau atasan, orang miskin atau kaya, orang yang bertatus rendah atau tinggi. 

Kesedihan adalah berpunca daripada dua faktor utama. Pertama, berpunca daripada perbuatan diri kita sendiri sebelum kita ditimpa kesedihan atau musibah. Mungkin sebelum ini tindakan yang kita telah lakukan menyebabkan orang lain menderita atau sedih. Akibat daripada kesedihan itu kemungkinan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar kita juga pada suatu hari nanti akan menerima nasib yang sama dan tidak mustahil Allah memperkenankan doa mereka kerana Allah berfirman, 

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menederita apabila ia berdoa kepadanya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah).” (Surah Al-Naml: Ayat 62)

Sekiranya kita bersedih akibat daripada kesilapan kita sendiri pada masa yang lampau, kita hendaklah menerimanya dengan redha, sabar dan tabah. Dalam masa yang sama kita harus menilai semula diri kita dan memperbaikinya serta bertaubat dengan sesungguh hati. Mungkin setelah kita menerima balasan dalam bentuk cash itu di dunia, hidup kita menjadi lebih tenteram dan bahagia. Jadi kita harus bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Keduanya adalah berpunca bukan daripada kesilapan diri kita sendiri. Kesedihan seperti ini merupakan satu dugaan kepada kita bagi menguji keimanan kita. Jika kita berjaya melepasi segala ujian dan musibah itu dengan penuh keredhaan, kesabaran dan ketabahan maka kita akan mendapat kerahmatan dan kebaikan daripada Allah yang tidak terduga oleh kita.

Tuesday, 18 April 2017

22. KEKUATAN FIZIKAL

Dalam bulan April 2012 satu program kecergasan diadakan di Sydney Australia selama 25 jam. Ia dikenali sebagai The Longest Day anjuran Chief's Original Bootcamp (COBC) dan merupakan satu program kecergasan untuk orang awam yang dikendalikan oleh satu pasukan jurulatih bekas tentera elit Australia. 

Hanya seramai 35 peserta sahaja daripada 52 peserta lelaki dan wanita dari seluruh dunia telah berjaya menamatkan cabaran tersebut. Salah seorang peserta yang berjaya ialah Daing Danielfitri, 27, dan ia merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia. Apa yang menarik perhatian kita ialah tentang kejayaan 35 peserta tersebut termasuk Fitri. 

Peserta dibekalkan dengan makanan yang terhad seperti kacang panggang, jagung, jeli dan sebotol air untuk selama 25 jam. Setelah berjaya menamatkan program tersebut Fikri berkata, "Saya masih ingat bahawa saya datang ke sini dengan penuh harapan. Mustahil untuk saya beralah selepas dua jam program bermula. Kesakitan tidak tertanggung peritnya tetapi saya tetap bertekad untuk meneruskan perjuangan sebaik sahaja doktor membalut pergelangan kaki saya yang terkehel akibat terjatuh semasa dalam program itu." 

Kita percaya pemilihan ke atas Fikri bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kepada pencapaiannya yang cemerlang dari segi kekuatan fizikal. Tanpa kekuatan fizikal mungkin harapan untuk berjaya agak kecil tambah lagi melibatkan program yang sangat lasak. Akan tetapi bergantung kepada kekuatan fizikal sahaja masih lagi tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan kerana ia harus diiringi dengan kekuatan mental. 

Kejayaan atau kegagalan akan memberi kesan sepanjang hayat kepada Fikri. Ia harus membuat pilihan sama ada ingin dikenang sebagai orang yang gagal atau orang yang berjaya. Tersalah langkah ia pasti akan menyesal buat selama-lamanya kerana program tersebut tidak akan ditawar lagi pada orang yang gagal. Dalam hal ini Fikri telah membuat keputusan yang tepat iaitu dengan berpegang kepada prinsip atau azimat iaitu mustahil untuknya berundur setelah bersusah payah datang dari jauh untuk menyertai program tersebut. 

Prinsip itulah disifatkan sebagai kekuatan mental yang ada pada Fikri dan 35 peserta lain yang berjaya. 

Berdasarkan kisah di atas kita dapat menjadikannya sebagai teladan iaitu betapa perlunya kita memiliki kekuatan mental selain fizikal atau kesihatan sekiranya kita ingin mencapai sesuatu dalam kehidupan kita terutamanya jika melibatkan sesuatu yang mencabar. 

21. PENGGUNAAN KUASA

Kuasa bererti kekuatan mempengaruhi orang bagi mencapai apa yang kita inginkan. Manusia ingin memiliki kuasa kerana ingin memiliki kekuatan. Ramai orang percaya dengan memiliki kuasa boleh menyebabkan imej mereka naik dan dapat merubahkan sesuatu sesuai dengan kehendak mereka. Semakin tinggi kuasa bererti semakin tinggi imej mereka dan perubahan yang boleh dilaksanakan.

Kuasa terbahagi kepada dua iaitu kuasa baik dan kuasa jahat. Kuasa baik merupakan kuasa yang digunakan untuk merubah sesuatu berdasarkan kehendak dan kebaikan orang ramai. Kuasa jahat pula bertujuan memenuhi kehendak diri sendiri atau segelintir kecil manusia dan akan menyusahkan orang ramai.

Bagi pemilik kuasa, kadang-kadang mereka tidak dapat membezakan antara kuasa baik dan jahat. Mereka beranggapan apa yang mereka lakukan merupakan sesuatu yang baik dan disukai oleh orang ramai walhal apa yang sebenarnya terjadi ialah di sebaliknya iaitu ramai yang tidak suka kerana sangat menyusahkan mereka. 

Kedua-dua kuasa itu mempunyai ciri masing-masing. Ciri-ciri kuasa baik ialah menggunakan kuasa untuk kepentingan dan kesenangan orang lain. Manakala ciri-ciri kuasa jahat ialah menggunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri dan menyusahkan orang ramai.

Kuasa baik atau jahat sering menggunakan perkataan demi. Contohnya seperti demi negara, demi rakyat, demi masyarakat, demi orang ramai, demi bangsa, demi penduduk, demi organisasi atau demi jabatan.

Setiap kuasa yang dimiliki tidak boleh bertahan dalam tempoh yang lama. Kuasa akan hilang apabila ia tidak lagi berada di tempat atau kedudukan yang menjadi sumber kekuasaan itu. 

Walaupun kuasanya sudah hilang namun ada satu perkara yang tidak boleh hilang daripadanya iaitu 'namanya'. Namanya akan menjadi baik sekiranya semasa berkuasa ia banyak mengamalkan kuasa baik dan sebaliknya namanya akan menjadi buruk seandainya ia banyak menggunakan kuasa jahat ketika berkuasa. Bak kata pepatah, 'manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meniggalkan belang'.

20. DISIPLIN MEMBAWA KEJAYAAN

Manusia yang hidup tanpa cita-cita diibaratkan seperti kata pepatah, hidup segan mati tak mahu. Anda juga mempunyai cita-cita atau impian dan boleh jadi ianya kecil atau besar menggunung. 

Pada 23 Jun 2012 saya bertemu kawan lama di restoran Papa Rich, Kuala Lumpur. Kali terakhir saya bertemu beliau ialah pada tahun 1984 atau kira-kira 28 tahun yang lalu. Beliau bekerja dengan Dewan Bandara Raya Kuala Lumpur dan kini memegang jawatan pengarah Bahagian Seni Taman. 

Semasa perbualan beliau menceritakan pelbagai pengalaman selama bekerja di situ. Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah mengenai perniagaan di kalangan penjaja pasar malam di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur. 

Katanya terdapat peniaga yang berjaya dan yang gagal. Bagi mereka yang berjaya, mereka bukan sahaja dapat meneruskan perniagaan dalam tempoh masa yang lama tetapi juga dapat mengembangkan perniagaan dari seorang penjaja kepada pemborong yang berjaya. 

Apabila saya bertanya apakah punca utama yang menyebabkan setengahnya berjaya dan setengahnya gulung tikar. Beliau dengan penuh yakin menjawab bahawa disebabkan oleh faktor disiplin. 

"Jika kita mahu berjaya dalam perniagaan, kita perlu pastikan terlebih dahulu bahawa kita benar-benar merupakan orang yang berdisiplin. Jika belum maka kita hendaklah belajar dan berusaha mendisiplinkan diri kita sehinggalah kita boleh dikategorikan sebagai orang yang berdisiplin. Jarang saya bertemu dengan orang yang berjaya dalam perniagaan merupakan orang yang tidak berdisiplin." Katanya bersungguh-sungguh. 

Demikianlah pandangan orang yang telah lama bertugas dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai disiplin dan kejayaan dalam perniagaan. 

Disiplin tidak terbatas kepada perniagaan sahaja. Ia perlu diamalkan dalam semua kehidupan kita seperti menjaga kesihatan, pengurusan kewangan, pengurusan organisasi, pergaulan, politik dan ibadah. 

Kita boleh merancang untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan seperti menjadi pelajar terbaik, jutawan, ahli sukan, jurutera, profesor, doktor dan sebagainya namun andainya kita masih merupakan orang yang tidak berdiplin maka harapan untuk berjaya adalah begitu kecil atau harapan yang menggunung tinggallah harapan buat selama-lamanya. 

Disiplin bermakna kita mematuhi ketetapan sama ada dalam bentuk hukum, undang-undang, peraturan, prosedur, garis panduan, petua atau prinsip. Contohnya jika anda merupakan seorang peniaga kecil atau pengusaha restoran membuat ketetapan untuk bangun pukul 5.00 pagi setiap hari kerana anda mendapat petua daripada orang yang telah berjaya dalam perniagaan bahawa untuk menjadi peniaga yang berjaya kita hendaklah lakukan amalan seperti itu. 

Anda akan dikategorikan sebagai orang yang berdisiplin sekiranya anda sentiasa dapat melaksanakan ketetapan tersebut dan begitu juga di sebaliknya. 

Saya percaya bahawa untuk menjadi seorang yang berjaya dalam apa jua bidang sekali pun adalah bergantung kepada banyak faktor dan salah satu yang utama ialah disiplin. 

19. SETELAH PENCEN

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan digantikan oleh Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57 berkuat kuasa 24 Jun 2012. Kontrak perkhidmatan Mohd Sidek tamat pada 23 Jun 2012. Perlantikan Dr Ali telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong. 

Hakikatnya ialah Mohd Sidek tidak lagi menjadi KSN mulai 24 Jun 2012, dan dari tarikh itu beliau akan dikenali sebagai pesara kerajaan. Sebagai pesara atau orang pencen sudah tidak ada lagi pangkat dan kedudukan kerana semuanya sama dan setaraf. 

Jika hal ini berlaku kepada Mohd Sidek maka demikianlah juga akan berlaku kepada pegawai lain termasuk diri anda sekiranya anda merupakan kakitangan kerajaan.

Alam atau dunia persaraan sangat jauh berbeza dengan suasana semasa masih belum bersara terutamanya mereka yang memegang jawatan dan kedudukan serta kuasa yang tinggi. 

Jika dulu, anda boleh mengarah dan mengenakan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar tetapi sekarang semua sudah hilang. 

Kalau dulu anda mempunyai taring dan kuku yang panjang maka sekarang semuanya sudah tercabut dan hancur lebur. 

Jika dulu, anda meminta mereka bertemu dengan anda pada jam 8.00 pagi maka belum pukul 7.00  pagi sudah muncul tapi sekarang mungkin pukul 9.00 pagi belum pasti lagi anda mampu menemuinya.

Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu seorang KSU (sekarang mantan KSU) di sebuah kementerian semasa ia berkuasa sering mengeluarkan kata-kata ketika mempengerusikan mesyuarat yang berbunyi, "Belum panggil sudah datang; belum suruh sudah siap". Semua orang bawahannya akur dengan ungkapan itu pada waktu itu. 

Akan tetapi jika sekarang beliau selaku pesara masih lagi mahu menggunakan kata-kata itu maka orang yang mendengarnya akan menjadikan ungkapan itu sebagai bahan ketawa sahaja.

Itu baru beberapa contoh yang mungkin anda akan hadapi semasa melangkah alam persaraan kerana yang pastinya banyak lagi cabaran dan rintangan yang terpaksa anda hadapi.

Apa yang patut anda lakukan ialah hadapilah kenyataan tersebut dengan cara membuat penilaian ke atas diri anda. Sedarkan diri anda dengan penuh keinsafan dan perasaan merendah diri (bukan menghina diri). Adaptasikan diri anda dengan masyarakat sekeliling kerana daripada masyarakat kita datang kepada masyarakat kita kembali. 

18. PENGANIAYAAN HARUS DIELAKKAN

Allah bersifat Maha Pemurah dan Penyayang.

Ia tidak akan menganiayai dan menzalimi hamba-hambanya.

Setiap sesuatu kesusahan atau musibah yang terjadi terhadap seseorang adalah berpunca daripada sikap sesama manusia itu sendiri. Allah mengizinkan sesuatu itu berlaku kerana sudah menjadi Qada dan Qadar.

Qada dan Qadar membuktikan bahawa Allah itu Maha Adil.

Allah melarang hambanya menganiayai seseorang. Kenapa?

Ini kerana Allah akan memberi azab kepada kepada orang yang menganiayai orang lain dan memberi rahmat kepada orang yang dianiayai.
Bagi orang yang menganiayai - ia mungkin merasakan puas hati kerana orang yang ia tidak sukai sudah jatuh atau sudah dapat dimalukan atau merana. Namun ia perlu ingat bahawa setiap apa yang ia lakukan pasti mendapat perhatian daripada Yang Maha Pencipta. Lambat laun atau cepat atau lambat ia juga pasti akan mendapat pembalasan yang setimpal daripada apa yang ia lakukan. Inilah yang dikatakan Qada dan Qadar.

Bagi orang yang dianiayai - ia pasti akan bersedih dengan apa yang berlaku. Namun janganlah anda sedih berpanjangan kerana anda sudah dijanji oleh Yang Maha Pencipta iaitu orang yang menganiayai anda akan menerima balasannya. Anda pula, jika dapat menerimanya dengan redha, sabar dan tabah maka Allah akan memberi sesuatu rahmat dan khabar gembira kepada anda.

Apakah bentuk pembalasan dan kerahmatan yang bakal kedua-duanya terima adalah tidak diketahui oleh manusia kerana Allah sahaja yang akan menentukan segala-galanya.

17. TIADA KESUKARAN TIADA KEJAYAAN

Jika ditanya pada sesiapa pun sama ada ia mahu mencapai kejayaan atau tidak, selagi ia masih waras, sudah pasti jawapannya ialah ya atau mahu.

Anda pasti mahu mencapai kejayaan seperti orang-orang yang telah berjaya.

Anda pasti mahu mencontohi diri anda seperti orang yang telah berjaya.

Anda mahu menjadi seorang yang berjaya dalam bidang perniagaan, usahawan, jutawan, ilmuan, ulamak, pakar, saintis, pensyarah, doktor, jurutera, peguam, akauntan, ahli ekonomi dan sebagainya.

Sesungguhnya tidak ada perkara yang mustahil dan anda boleh mencapai apa yang diidam-idamkan itu dengan syarat anda perlu memahami dan sedar bahawa setiap kejayaan yang hendak dicapai bukanlah mudah.

Anda harus melalui jalan yang berliku-liku, banyak halangan dan pelbagai kesukaran sebelum anda berjaya atau seperti ungkapan Inggeris yang popular - no pain no gain.

Jika anda sanggup melalui semuanya itu dan terus tidak mengenal putus asa, insya Allah anda akan berjaya kerana Allah sentiasa memberi rahmat kepada orang yang berusaha dengan sepenuh hati dalam mengejar sesuatu yang anda cita-citakan.

Saturday, 26 November 2016

16. SENJATA ORANG BERIMAN

Doa bermaksud memohon sesuatu dengan Allah. 

Semua orang boleh berdoa tanpa mengira siapanya kita sama ada muda atau tua; miskin atau kaya; susah atau senang; berkedudukan rendah atau tinggi dan walau di mana sahaja kita berada.

Allah akan mendengar semua doa hamba-hambaNya itu kerana sesungguhnya Ia Maha Pendengar.

Allah berfirman:

Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Al-Ghāfir: Ayat 60)

Akan tetapi bukan semua doa yang kita pohon diterima oleh Allah.

Antara doa yang mudah diterima oleh Allah ialah doa orang yang beriman, bertaqwa, orang yang dianiayai, dizalimi dan juga berdoa di tempat-tempat dan waktu-waktu tertentu.

Bagi orang yang beriman pula, doa mereka merupakan senjata kerana Allah mudah menerima doa orang-orang yang beriman. 

Oleh itu, bagi memudah doa kita diterima Allah, kita hendaklah melaksanakan kehidupan harian kita ke arah memenuhi ciri-ciri orang yang beriman.

Antara ciri-ciri orang yang beriman ialah ia hendaklah sentiasa melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan semua perkara yang dilarang.

15. PENGORBANAN MENGHASILKAN KEGEMBIRAAN

Setiap hari anda akan berdepan dengan keputusan. Setiap keputusan yang anda putuskan tentu akan memberi implikasi kepada diri anda sama ada dalam jangka pendek atau panjang. 

Jika keputusan yang anda ambil merupakan suatu pengorbanan bererti kerahmatan sedang menanti anda. Anda pasti akan gembira apabila mendapat rahmat. 

Contohnya, katakan anda dipelawa oleh seorang kawan perempuan cantik untuk tidur dengannya. Jika anda memilih untuk menolak pelawaannya bererti anda telah melakukan suatu pengorbanan iaitu anda rela mengorbankan nafsu anda disebabkan oleh perasaan anda yang takut kepada Allah. 

Hasilnya anda akan memdapat rahmat sama ada dalam jangka pendek atau panjang. Bentuk rahmat itu adalah pelbagai jenis misalnya berupa kesihatan, rezeki, kejayaan dalam kerjaya atau peperiksaan, sentiasa gembira dan lain-lain.

Akan tetapi jika anda memutuskan untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan mengenepikan perngorbanan bererti kekecewaan sedang menanti anda. Anda pasti akan menderita dengan kekecewaan itu.

Contohnya, katakan anda membuat keputusan untuk tidur dengan perempuan itu, bererti anda  memilih untuk tidak melakukan pengorbanan atau anda tidak mahu mengorbankan nafsu anda. 

Hasilnya, ada dijauhi rahmat sebaliknya kekecewaan dan penderitaan sedang menanti anda sama ada dalam jangka panjang atau pendek.

Jenis penderitaan adalah pelbagai seperti serba salah, resah gelisah, musibah, sering gagal, serba tak kena, masalah keluarga, organisasi dan lain-lain.

Selain daripada contoh tersebut iaitu pengorbanan dari segi nafsu, terdapat banyak lagi contoh lain seperti pengorbanan masa, kekayaan, kebajikan, agama, tenaga dan lain-lain.

14. PEMIMPIN PERLU BERUPAYA

Pemimpin merupakan orang yang boleh mempengaruhi dan memotivasikan anak-anak buahnya supaya mampu mencapai apa yang kita inginkan. Maksud apa yang kita inginkan adalah bergantung kepada setakat mana batas sempadan kepimpinannya. Contohnya sebuah rumahtangga, kumpulan, organisasi atau negara.

Kuatnya pemimpin maka kuatlah organisasinya dan begitulah sebaliknya.

Kita wajib memahami kenapa kita mahu jadi pemimpin. Kalau kita gagal memahami konsepnya dengan sejelas-jelasnya, tidak usahlah kita berangan-angan untuk menjadi seorang pemimpin yang boleh menjadikan organisasi yang cemerlang dan disegani.

Kita harus tahu siapakah yang akan menggerakkan segala proses untuk mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Jawabnya tidak lain dan tidak bukan iaitu anak-anak buah kita. Kalau kita gagal menjaga hati mereka alamat organisasi yang kita pimpin pasti akan menemui jalan buntu.

Oleh itu, jagalah anak-anak buah dengan sebaik mungkin kerana merekalah merupakan penggerak utama yang dapat menuju sasaran yang kita tetapkan.

Kalau diibaratkan dengan sebuah pesawat terbang, seorang pilot akan dapat membawa pesawat ke mana sahaja yang ia ingin tuju setelah terlebih dahulu memastikan bekalan minyak yang mencukupi. Minyak inilah diumpamakan sebagai anak-anak buah kita. Tanpa minyak maka tidak dapat ke manalah pilot itu.

Friday, 25 November 2016

13. SEMUA MENUNGGU

Apabila kita diciptakan oleh Allah swt dan dilahirkan melalui ibu setelah berada dalam kandungan kira-kira sembilan bulan lantas kita pun bergelar seorang insan untuk menjalani kehidupan di dunia dalam tempoh yang tertentu.

Di sini wujudlah saat penantian atau menunggu dalam tempoh sama ada singkat atau lama untuk menuju kematian atau alam akhirat. Jika tempoh menuggu itu singkat , anda mungkin dapat hidup beberapa saat atau minit sahaja dan jika umur panjang, anda mungkin menunggunya sehingga 100 tahun.

Sekarang cuba kita perkecilkan pula tempoh itu dalam bentuk tahun. Ini bermakna kita sentiasa menunggu dari awal tahun sehinggalah akhir tahun.

Kemudian kita perkecilkan lagi penantian itu kepada bulan pula iaitu dari satu bulan kepada satu bulan.

Selepas itu kita menunggu pula dari seminggu ke seminggu.

Seterusnya perkecilkan lagi menjadi penantian dari sehari kepada sehari.

Kemudian dapat lagi diperkecilkan dari satu jam kepada satu jam.

Sebelum ia dapat diperkecilkan lagi ingin saya sentuh di peringkat ini yang berkaitan dengan solat fardu lima waktu.

Kita sering ingin menikmati sesuatu yang jaraknya sangat jauh seperti lima tahun atau sepuluh tahun akan datang sehingga kita membiarkan kesusahan berdasarkan tempoh dari satu jam kepada satu jam.

Apa yang ingin saya sarankan ialah kita hendaklah menjadikan setiap waktu solat itu sebagai suatu destinasi yang hendak kita tuju dan dalam tempoh menunggu waktu solat itu kita harus memenuhinya dengan aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha yang baik atau yang disukai oleh masyarakat dan Tuhan.

Sewaktu kita bersolat  bermakna sudah sampai kepada destinasi yang kita tunggu. Kita sedang menghadap Allah dan kita sangat bersyukur kepadaNya kerana bukan semua orang boleh berjaya menuju ke destinasi tersebut. Sebaik sahaja kita selesai maka kita masih mempunyai destinasi yang lain pula dan ia tidak akan berhenti sehinggalah ke destinasi yang terakhir iaitu kematian.

Jika kita mencontohi suatu perjalanan mendaki Gunung Kinabalu yang mengambil masa yang lama tetapi sepanjang laluan itu terdapat beberapa pondok untuk berehat. Betapa gembiranya pendaki apabila dapat berehat sebentar setiap pondok tersebut sebelum mereka sampai ke puncak gunung.

Pondok itu diperlukan bukan sahaja sebagai tempat berehat tetapi juga sebagai tempat untuk mengisi senula stamina yang telah hilang dan memberi semangat baru untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh. Setiap perjalanan sebelum sampai ke suatu  pondok itu hendaklah dipenuhi dengan kebaikan dan kegembiraan. Ini dilakukan bertujuan supaya tidak terasa kepenatan dan kebosanan sebelum sampai ke pondok tersebut.

Jadi semasa perjalanan itu, pentingnya diisi dengan kebaikan dan kegembiraan tetapi yang lebih penting lagi ialah berjaya sampai pada setiap pondok.

Begitulah juga dengan dengan solat terutamanya solat berjemaah, kita hendaklah menjadikannya sebagai destinasi yang wajib kita tuju setiap hari. Dalam tempoh menunggu itu kita penuhi dengan aktiviti-aktiviti yang baik dan bermakna. Ingat, sebaik sahaja sampai pada destinasi, segalanya perlu ditinggalkan kerana masih banyak lagi destinasi yang perlu kita lalui kerana jika tidak kita akhirnya akan menghadapi pelbagai masalah untuk sampai ke destinasi yang terakhir.

12. KITA DIKENANG

Apabila anda sudah tiada sama ada meninggalkan keluarga, organisasi, masyarakat, negara atau dunia anda tetap dikenang oleh seseorang atau orang ramai dalam tempoh yang singkat atau pun lama.

Anda harus bertanya pada diri anda dua perkara iaitu adakah aku mahu dikenang sebagai orang yang baik atau tidak baik. 

Jika anda memilih untuk dikenang sebagai orang baik anda hendaklah sentiasa melakukan perkara seperti berikut:

a) Amanah, jujur, ikhlas, integriti, tekun dan rajin.

b) Beriman dan bertqwa

c) Membantu orang yang susah

d) Mencipta atau mereka sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

e) Aktif dalam kegiatan kebajikan peringkat kampung atau negara

Jika anda memilih untuk dikenang sebagai orang yang tidak baik anda hendaklah sentiasa melakukan perkara seperti berikut:

a) Berbohong dan menipu

b) Menaniayai orang lain

c) Zalim

d) Tidak adil 

e) Dendam dan tidak bertimbang rasa

Jadi anda akan dikenang berdasarkan apa yang anda lakukan.

Para Rasul dan Nabi serta ulama dikenang kerana perjuangan mereka membawa kita ke jalan yang benar.

Raja dan pemerintah serta pemimpin yang zalim dikenang sebagai orang yang zalim dan mereka yang baik akan dikenang sebagai orang yang baik.



Oleh itu marilah kita memilih untuk sentiasa melakukan sesuatu perkara yang baik kerana hidup kita bukannya lama dan di akhirat nanti tempat yang kekal buat selama-lamanya. Orang yang baik akan berada di tempat yang mulia iaitu syurga dan orang yang tidak baik akan berada di neraka yang penuh dengan penderitaan dan seksaan.

11. MEMILIKI VISI

Visi merupakan sesuatu yang anda mimpi atau idamkan untuk anda capai atau miliki dalam jangka panjang. Biasanya melebihi 10 tahun. Mungkin hari ini anda merasakan mustahil untuk dicapai dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang tetapi memandangkan dalam masa tersebut pelbagai perubahan boleh berlaku maka tempoh tersebut sudah tidak lagi mustahil.

Visi boleh dibuat untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara. Ia perlu dilakukan kerana dengan adanya visi anda akan dapat merancang dan berusaha ke arah visi tersebut.Ini sudah pasti dapat membantu anda melakukan sesuatu dengn lebih baik kerana anda tahu ke manakah anda sedang menuju. Hidup tanpa arah boleh menyebabkan kehidupan anda menjadi sukar dan tidak seronok.

Visi perlu  jelas dan tidak panjang iaitu memadai dengan satu atau dua baris ayat. Perkataan tahun hendaklah dinyatakan dan biarlah ia mampu dicapai dalam jangka panjang. Contoh visi ialah:

a) Diri sendiri

- Menjadi seorang jutawan yang beriman menjelang 2030
- Menjadi ulamak terkenal panda tahun 2035
- Menjadi doktor pakar menjelang tahun 2040

b) Keluarga

- Mewujudkan keluarga misali menjelang 2030
- Menjadi sebuah keluarga kaya yang bahagia menjelang 2025
- Menjadi keluarga yang terkenal menjelang 2040

c) Organisasi

- Menjadi sebuah organisasi contoh menjelang 2020
- Menjadi sebuah organisasi yang bertaraf dunia menjelang 2030
- Menjadi sebuah organisasi yang paling kaya di dunia menjelang 2040

d) Negara

- Menjadi negara maju menjelang 2020
- Menjadi negara paling kaya di dunia menjelang 2030
- Menjadi negara paling rendah kadar jenayah menjelang 2040



Memiliki visi adalah penting bagi memudahkan arah tujuan kita dalam menjalani kehidupan . 

Thursday, 24 November 2016

10. KESIAN KEPADA PELAKU

Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas seseorang seperti dipukul, dicuri, dirampas, dimaki, dihina, diumpat, difitnah, dianiayai atau dizalimi biasanya orang ramai akan bersimpati dan kasihan kepada mangsa. Jarang sekali kita mendengar ada orang yang akan bersimpati dengan si pelaku.

Sebenarnya kita harus kasihan kepada kedua-dua pihak kerana:

a) Mangsa - Anda semestinya bersedih dan menderita kerana merupakan mangsa kepada kejadian yang berlaku tetapi anda hendaklah bersabar dan tabah menghadapinya. Lambat laun anda akan diberi ketenangan dan kegembiraan oleh Allah.

b) Pelaku - Jika anda sebagai pelaku iaitu orang yang bertanggungjawab menyebabkan orang lain menjadi mangsa kesusahan dan kesedihan maka anda juga seharusnya perlu dikasihani. Mengapakah anda perlu dikasihani sedangkan andalah yang menjadi punca orang lain menderita? Sebabnya Allah tidak akan membiarkan pelaku bertindak sesuka hati dan ia akan mendapat balasan daripadaNya cuma lambat laun sahaja. Ini bermakna betapa kasihannya anda yang sedang menunggu untuk menerima balasan daripada Allah dan sudah tentu giliran anda pula untuk bersedih dan menderita.

Itulah kebesaran dan keadilan Illahi, setiap perbuatan baik atau jahat walaupun setitik tinta pun pasti akan mendapat balasan dariapadaNya di dunia dan akhirat.

Oleh itu anda hendaklah sentiasa membuat baik kepada sesama manusia dan Tuhan Yang Maha Esa agar hidup anda memperolehi keberkatan dan kerahmatan.




9. TAHAP TINGKAH LAKU PEKERJA

Tingkah laku anda atau rakan sekerja atau boss anda semasa mula bertugas sehinggalah melangkah ke alam persaraan adalah berbeza. Biasanya kita akan mengalami empat tahap kelakuan iaitu:

a) Tahap Satu: Kelakuan seperti adik-adik.

Sifat adik-adik biasanya suka menyalahkan abang, kakak dan ibu bapa. Ia susah hendak menerima dan memahami apa yang dilakukan oleh pihak yang lebih tua daripadanya. 

Contohnya katakan longkang di kawasan rumah anda tersumbat, adik-adik akan berkata, "Kenapalah abang-abang tak tolong betulkan longkang yang tersumbat itu. Takkan nak kena tunggu ayah suruh baru nak buat."

Samalah juga jika kita perhatikan pekerja baru, ia tidak berapa boleh menerima sesuatu aktiviti atau sistem yang sedia ada dan kadang-kadang menganggapnya sebagai ketinggalan zaman. Padanya tindakan pembetulan hendaklah dilakukan segera dan ia suka melepaskan perasaan dan pandangannya kepada orang lain.

b)  Tahap Dua: Kelakuan seperti abang atau kakak

Sifat abang atau kakak biasanya suka berleter dan sering memarahi adik-adiknya jika sesuatu kerja tidak dapat disiapkan. Ia akan berpuas hati jika setiap kerja yang dilakukan dapat dibantu oleh adik-adiknya.

Dalam kes longkang tersumbat tadi, abang atau kakak akan berkata, "Mana hilangnya budak-budak ni, asyik merayau saja. Kalau aku tak buat memang tak jalan kerja ni. Semuanya tak boleh diharap."

Cuba anda perhatikan apabila pekerja itu sudah menjadi senior yang berkhidmat melebihi 10 tahun, biasanya ia akan sering menyalahkan pekerja bawahannya jika sesuatu tugas atau program tidak dapat disiapkan atau dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Ia beranggapan pekerja bawahannya tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sepenuhnya jika ia tidak bersuara.

c) Tahap Tiga: Kelakuan seperti bapa

Sifat bapa biasanya lebih kepada mengambil tindakan untuk mengatasi masalah. Ia tidak perlu menunggu kehadiran semua anak-anaknya untuk menyelesaikan sebarang masalah  kerana yang penting ialah kerja dapat disiapkan segera walaupun hanya dengan beberapa orang anaknya.

Dalam contoh longkang tersumbat tadi bapa akan berkata, "Kalau abang atau kakak tak ada kat rumah tak apa kerana mungkin masing-masing ada urusan hendak mereka selesaikan. Kita atasi masalah ini dengan menggunakan tenaga yang masih tinggal.

Sikap seperti ayah ini biasanya dimiliki oleh pekerja yang sudah berkhdmat melebihi 20 tahun. Setiap tugas yang diberi akan dilaksanakan dengan menggunakan khidmat pekerja yang masih berada atau tinggal. Ia tidak menunggu untuk melaksanakannya sehingga pekerjanya pulang dari tugas luar kerana baginya sebarang kerja mampu dilakukan oleh pekerja lain.

d) Tahap Empat: Kelakuan seperti atuk

Sifat atuk biasanya sangat tenang, perlahan, tunggu dan lihat. Bila ada masalah ia tidak bertindak tergesa-gesa kecuali mendatangkan bahaya baru ia bertindak dengan segera.

Dalam kes longkang tersebut tadi atuk akan berkata, "Biarlah ia tersumbat asalkan ia tidak mendatangkan bahaya kepada sesiapa. Kalau semua orang dah ada barulah baiki. Tak usahlah kecoh-kecoh, nanti malu kalau orang dengar."

Sifat ini biasanya akan berlaku apabila seseroang pekerja cuma tinggal beberapa tahun sahaja akan bersara. Setiap masalah dan tugasan akan diselesaikan berdasarkan kemampuan. Kerja boleh ditangguhkan jika tidak ada pekerja yang mencukupi asalkan tiada ancaman. Ini tidak bermakna ia tidak mahu menyelesaikan masalah tetapi ia menimbangkan pelbagai aspek sebelum melakukan sesuatu.

Justeru itu tanyalah diri anda berapakah umur anda dan sudah berapa lamakah anda bekerja. Selepas itu fikirkanlah di tahap manakah anda berada sekarang dan adakah ianya di tahap yang sebenar atau tidak. Sekiranya anda merupakan pekerja yang baru tetapi berlakuan di tahap yang lebih tinggi, ia adalah satu kelebihan kepada diri anda.

Akan tetapi jika anda sudah lama bekerja tetapi berperangai seperti di tahap baru maka anda hendaklah memperbetulkannya dengan segera bagi mengelakkan diri anda daripada tertekan dan stress. Pekerja anda juga mungkin berpendapat bahawa anda masih belum matang kerana umur dan pengalaman sahaja yang lebih tetapi perangai masih di tahap lama.

Oleh itu anda hendaklah sentiasa berkelakuan yang selari dengan perkembangan umur dan pengalaman anda selama anda bekerja. 

8. TRANSFORMASI BERFIKIR

Kebanyakan kita memikirkan:

a) Aku dapat apa?

b) Bila aku boleh dapat?

c) Kenapa aku tak dapat dan dia dapat?

d) Mengapa aku dapat sikit dan dia dapat banyak?

e) Apa yang aku dapat jika aku tolong dia?

Soalan di atas adalah normal dan tidak salah pun cuma ia menggambarkan bahawa kita sentiasa memikirkan untuk meminta atau mendapatkan sesuatu daripada seseorang atau Tuhan. Jarang pula kita mendengar seseorang itu sentiasa memikirkan untuk memberi atau menyumbangkan sesuatu.

Mungkin kita tidak menyedari bahawa manusia sebenarnya merupakan insan yang sangat kaya secara perbandingan. Cuba anda renung jika kedua-dua belah mata dengan tiba-tiba menjadi buta. Waktu itu anda mempunyai wang simpanan sebanyak RM10 juta. Jika anda ingin melihat semula, anda disyaratkan membayar  RM10juta kepada pihak hospital. Memandangkan betapa pentingnya penglihatan, anda pasti bersetuju dengan syarat tersebut walaupun terpaksa mengeluarkan kesemua simpanan tersebut.

Jadi apabila anda tidak buta bererti anda seolah-olah sudah memiliki wang sebanyak RM10juta. Bukankah anda sudah kaya?.

Satu lagi contoh ialah katakan anda tidak mampu untuk bergerak dan terbaring di atas katil akibat penyakit lumpuh seluruh badan. Makan dan minum semuanya diuruskan oleh ibu atau isteri anda. Pastinya anda sanggup membayar berapa jumlahnya walaupun berjuta ringgit asalkan penyakit anda dapat disembuhkan sepenuhnya iaitu mampu berjalan dan berlari semula.

Nah, sekali lagi anda merupakan orang kaya. kerana anda tidak buta dan tidak lumpuh. Jadi anda tidak perlu mengeluarkan jutaan ringgit.

Ertinya kekayaan yang kita miliki tidak semestinya diukur dengan wang ringgit semata-mata tetapi harus dinilai juga dalam bentuk yang lain termasuk dari aspek kesihatan tubuh badan.

Selain itu terdapat ramai orang yang menderita akibat mengalami pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi, buah pinggang, kencing manis atau kanser dan bagi mereka yang mampu akan sanggup membayar berapa sahaja kos rawatannya asalkan mereka dapat sembuh semula daripada penyakit tersebut.

Inilah yang dikatakan orang yang sihat merupakan orang yang sangat kaya. Siapakah yang memberikan kita sihat atau kekayaan itu? Tentulah Tuhan Yang Maha Esa.

Memandangkan anda merupakan orang yang kaya bererti anda juga boleh merubah cara berfikir daripada seorang yang meminta kepada memberi. Anda bertanyakan diri anda beberapa soalan yang berbetuk memberi seperti:

a) Berapa banyakkah wang atau tenaga yang dapat aku berikan kepada seseorang, ibu bapa, keluarga, organisasi atau masyarakat?

b) Bilakah masanya aku boleh memberikan sesuatu sumbangan kepada orang miskin atau anak yatim ?

c) Kenapa aku beri sedikit dan tidak banyak?

d) Kenapa aku tidak memberi sedikit tenaga aku untuk beribadat di rumah Allah?

e) Kenapa aku tidak memberi idea, petua atau ilmu yang berguna kepada orang lain?

f) Kenapa aku tidak memberi tenaga aku untuk majlis gotong royong membersihkan kawasan perumahan aku?

Justeru itu ubahlah sikap anda daripada sentiasa bersikap meminta kepada bersifat memberi.

7. KEIKHLASAN

Kita sering mendengar orang berkata, "Boss, sebenarnya saya belanja makan atau belikan baju untuk boss ni adalah ikhlas."

Adakah anda terfikir bahawa ia ikhlas atau tidak?



Jawabnya mungkin ya atau tidak. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ada juga orang berkata kalau seseorang mengatakan yang ianya ikhlas bermakna ia sebenarnya tidak ikhlas. Ikhlas tidak perlu diberitahu kepada seseorang yang kita berikan kerana ikhlas itu datang daripada hati yang suci dalam diri seseorang.



Ikhlas bererti kita membuat, melaku, memberi, menyumbang atau membantu seseorang tanpa mengharapkan sesuatu atau balasan. Jika ia mempunyai sedikit sahaja tujuan untuk mendapat balasan atau ganjaran bererti sudah cukup untuknya disifatkan sebagai orang yang tidak ikhlas.


Rakan-rakan saya pernah menceritakan kepada saya bahawa semasa Encik Imran masih menjadi ketua di sebuah jabatan kerajaan, setiap tahun sewaktu dalam bulan Ramadhan beliau diberi pelbagai buah tangan kononya sebagai tanda ikhlas daripada ketua-ketua cawangan seluruh negara. Walaupun Imran bukanlah orang yang suka menerima sumbangan tersebut tetapi terpaksa menerimanya kerana anak-anak buah bertegas mengatakan bahawa pemberian itu adalah ikhlas. Bukan setakat dirinya menerima sumbangan tetapi juga isterinya menerima walaupun rimas dibuatnya untuk menerima sumbangan Raya yang datang tanpa diminta.

Sebaik sahaja bersara Imran mendapati tiada lagi anak-anak buahnya yang datang ke rumahnya untuk menghulurkan buah tangan seperti sebelumnya. Bahkan bertanya khabar langsung tidak ada sama ada melalui telefon mahu pun sms.

Berdasarkan cerita di atas dapatlah kita rumuskan bahawa anak-anak buahnya yang memberi sumbangan itu bukanlah merupakan orang yang ikhlas kerana mereka hanya memberi pada masa Imran masih berkuasa. Jika mereka itu ikhlas sudah pasti semasa Imran bersara pun mereka masih memberi sumbangan Raya.

Dalam konteks ibadah pula Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Al-Bayyinah: 5)

Sabda Rasulullah saw:

“Ikhlaslah dalam beragama; cukup bagimu amal yang sedikit.”

Oleh itu jika kita hendak menjadi orang yang ikhlas, kita hendaklah membuat sesuatu kerana Allah dan tidak mengharapkan sesuatu ganjaran daripada seseorang.