Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan digantikan oleh Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57 berkuat kuasa 24 Jun 2012. Kontrak perkhidmatan Mohd Sidek tamat pada 23 Jun 2012. Perlantikan Dr Ali telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Hakikatnya ialah Mohd Sidek tidak lagi menjadi KSN mulai 24 Jun 2012, dan dari tarikh itu beliau akan dikenali sebagai pesara kerajaan. Sebagai pesara atau orang pencen sudah tidak ada lagi pangkat dan kedudukan kerana semuanya sama dan setaraf.
Jika hal ini berlaku kepada Mohd Sidek maka demikianlah juga akan berlaku kepada pegawai lain termasuk diri anda sekiranya anda merupakan kakitangan kerajaan.
Alam atau dunia persaraan sangat jauh berbeza dengan suasana semasa masih belum bersara terutamanya mereka yang memegang jawatan dan kedudukan serta kuasa yang tinggi.
Jika dulu, anda boleh mengarah dan mengenakan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar tetapi sekarang semua sudah hilang.
Kalau dulu anda mempunyai taring dan kuku yang panjang maka sekarang semuanya sudah tercabut dan hancur lebur.
Jika dulu, anda meminta mereka bertemu dengan anda pada jam 8.00 pagi maka belum pukul 7.00 pagi sudah muncul tapi sekarang mungkin pukul 9.00 pagi belum pasti lagi anda mampu menemuinya.
Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu seorang KSU (sekarang mantan KSU) di sebuah kementerian semasa ia berkuasa sering mengeluarkan kata-kata ketika mempengerusikan mesyuarat yang berbunyi, "Belum panggil sudah datang; belum suruh sudah siap". Semua orang bawahannya akur dengan ungkapan itu pada waktu itu.
Akan tetapi jika sekarang beliau selaku pesara masih lagi mahu menggunakan kata-kata itu maka orang yang mendengarnya akan menjadikan ungkapan itu sebagai bahan ketawa sahaja.
Itu baru beberapa contoh yang mungkin anda akan hadapi semasa melangkah alam persaraan kerana yang pastinya banyak lagi cabaran dan rintangan yang terpaksa anda hadapi.
Apa yang patut anda lakukan ialah hadapilah kenyataan tersebut dengan cara membuat penilaian ke atas diri anda. Sedarkan diri anda dengan penuh keinsafan dan perasaan merendah diri (bukan menghina diri). Adaptasikan diri anda dengan masyarakat sekeliling kerana daripada masyarakat kita datang kepada masyarakat kita kembali.
No comments:
Post a Comment