Tuesday, 22 November 2016

5. HALANGAN KEPADA PERUBAHAN

Setiap orang tentu akan memiliki sifat-sifat yang positif dan negatif. Tiada siapa yang sempurna kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanya milik Allah swt. Orang yang memiliki sifat-sifat positif seperti rajin, sabar, tenang, bersemangat, baik sangka, pemaaf, jujur dan ikhlas  seharusnya mengekalkan sifat-sifat tersebut. Bagi mereka yang mempunyai sifat-sifat negatif seperti emosi, panas baran, cepat melenting, mudah diprovokasi, iri hati, malas, pentingkan diri sendiri, suka maki hamun, dendam, dengki, khianat, pilih kasih, tidak amanah, tidak berintegriti dan suka mengumpat seharusnya melakukan perubahan.

Memang tiada siapa yang sempurna tetapi kita harus berusaha ke arah itu dengan cara meminimum atau menghapuskan segala sifat-sifat negatif yang kita miliki. Masa untuk berubah adalah tidak sama. Ada yang memerlukan masa yang singkat, lama dan sangat lama. Kadang-kadang ia sudah pun berubah tetapi tidak kekal lama dan kembali semula kepada tabiat lama.

Apa yang jelas ialah setiap kali apabila kita mahu berubah pasti ada sahaja halangan yang menunggu. Hanya mereka yang cekal dan tidak mengenal putus asa sahaja yang boleh melaku dan mengekal perubahan tersebut. Antara halangannya ialah:

a) Belum Bersedia Untuk Berubah

Mungkin anda memulakan perubahan disebabkan oleh pengaruh persekitaran atau kawan-kawan sedangkan hati kecil anda masih berat untuk berubah. Misalnya katakan satu hari ketika anda bersiar-siar di tempat rekreasi tiba-tiba anda melihat beberapa orang sama ada muda atau tua, lelaki atau perempuan dan kecil atau besar serta termasuk kawan anda sedang berjoging. Mereka kelihatan sihat dan ceria. Di sini timbul dalam hati dan perasaan anda untuk turut berjoging dan pada minggu berikut anda pun memulakan joging. Anda berazam untuk berjoging setiap hari minggu secara berterusan selama setahun dan masa bagi setiap kali joging ialah 30 minit. Setelah tiga minggu anda berjoging, anda terasa letih dan bosan. Akhirnya belum lagi sampai minggu keempat, anda mengambil keputusan untuk berhenti berjoging.

b) Hangat-Hangat Tahi Ayam

Anda tidak mampu bertahan lama dengan perubahan yang anda lakukan kerana anda memiliki sikap hangat-hangat tahi ayam. Setiap perubahan yang hendak anda laksanakan sentiasa tidak dapat sampai pada penghujungnya. Sikap ini terjadi biasanya disebabkan oleh beberapa faktor seperti anda tidak fokus atau cita rasa anda yang sentiasa berubah-ubah. Katakan hari ini rajin menanam sayur kerana anda mendapati ianya merupakan tanaman yang mendatangkan pasaran dan hasil yang baik. Akan tetapi belum lagi sempat ia mengeluarkan hasil anda sudah berubah kepada ternakan ikan keli kerana anda menjangkakan ia lebih menguntungkan berbanding dengan tanaman sayur.

c) Cepat Berputus Asa

Apabila anda memulakan perubahan tiba-tiba anda tidak mahu meneruskan perubahan itu disebabkan sikap anda yang cepat dan mudah berputus asa. Biasanya ia bepunca dengan sikap anda yang ingin memperolehi hasil yang cepat. Anda akan berputus asa jika apa yang ingin anda lakukan mendapat hasil yang lambat. Contohnya katakan anda mahu berubah daripada seorang yang bersikap emosi kepada rasional. Dalam masa beberapa hari anda dapati emosi anda masih lagi  di tahap yang lama sedangkan anda telahpun memulakan perubahan dalam masa tertentu. Memandangkan anda tidak dapat menerima kenyataan tersebut akhirnya anda kembali semula kepada sikap yang lama.

d) Pengaruh Kawan-Kawan

Anda tidak dapat lari daripada kawan-kawan baik kawan-kawan sekampung, sepejabat dan sepermainan. Walaupun anda sudah memulakan perubahan yang agak lama tetapi apabila bertemu dengan kawan-kawan yang masih tidak berubah namun tindakan mereka itu kadang-kadang boleh mempengaruhi diri anda untuk kembali semula kepada tingkah laku yang sebelumnya. Sebagai contoh anda telah lama berhenti merokok tetapi suatu hari anda bertemu dengan kawan lama anda di sebuah restoran. Ia kelihatan gembira dan pada masa yang sama ia sedang menghisap rokok. Setelah beberapa minit berbual ia telah menghulur anda sebatang rokok untuk anda hisap bersamanya. Pada mulanya anda menolak pelawaannya tetapi setelah ia mendesak beberapa kali akhirnya anda beralah. Apabila anda menghisapnya anda mearasakan satu kelainan dan cukup nikmat kerana anda sudah lama tidak merokok. Selepas petemuan itu anda kembali menjadi perokok.

e) Mudah Patah Semangat

Kejayaan untuk berubah agak sukar dicapai seandainya anda mempunyai sifat yang mudah patah semangat. Untuk berjaya dalam perubahan anda memerlukan semangat yang kental dan berterusan. Bagi mengekalkan semangat yang tinggi anda perlu mencari punca yang menyebabkan semangat itu tidak luntur tetapi tetap membara. Contohnya jika anda sedang berusaha untuk merubah diri anda daripada seorang pemalas kepada rajin. Anda boleh menjadikan anak-anak anda sebagai punca yang menyebabkan anda terus bersemangat untuk berubah. Beritahu pada diri anda sekiranya anda malas untuk mencari rezeki dengan melakukan kerja walaupun susah seperti nelayan maka siapakah lagi yang akan menanggung anak-anak anda untuk membesar dan bersekolah.

Justeru itu anda hendaklah sentiasa berusaha dengan sedaya upaya bagi mencapai kejayaan dalam setiap perubahan yang ingin anda lakukan terhadap diri anda walaupun wujud pelbagai halangan.

No comments:

Post a Comment